Islam mengharamkan melakukan hubungan seks antara suami dan isteri ketika waktu haid. Hukum ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala didalam firman Nya yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”.
Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan
(jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan
janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian
apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan
oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak
bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah
Al-Baqarah 2:222)
Didalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w banyak memperkatakan hal
ini, diantaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang
menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran
duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya,
sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.”
(Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)
Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin
dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga
jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih
dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.“
Kajian Mengenai Bahaya Seks Ketika Haid.
Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko,
menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan
Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu
pejabat di Oregon, dalam artikel yang bertajuk Women With HIV Infection, risiko
jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks
ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.
Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for
Disease Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas
Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New
Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995 melaporkan,
menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di
bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV
bagi lelaki dan wanita.
Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan
hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam
kali ganda. Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan
yang teruk ke atas wanita.
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan
rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs
menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap
mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan
yang teruk daripada biasa.
Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani
pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari
atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic
Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996.
Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh
diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang
kuat. Risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang
melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub
fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang
terdapat di kawasan faraj atau vagina.
Ketika wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj
menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit
terutamanya apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.
Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika
haid oleh agama Islam adalah amat baik kerana ia mendatangkan banyak manfaat
dari sudut kesihatan. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang diantara suami
isteri bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu
tidak membawa kepada persetubuhan.
Menurut Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah
ditanya oleh Masruq bin Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa
isterinya sedang dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja
kecuali bersetubuh.” (Hadith Sahih Bukhari)
Wallahu’alam….
Sumber : HasnulHadiAhmad.Com
0 comments:
Post a Comment